22 Disember 2011

MB: Pemaju bina bangunan baru Madrasah Sahiliah


Pemaju projek Aman Central di Jalan Tambang Badak di Alor Star bersetuju supaya bangunan paling akhir dirobohkan ialah Madrasah Sahiliah dan diganti dengan bangunan baru, kata Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Katanya, surau itu - antara bangunan yang terjejas dalam pembangunan projek tersebut - akan dirobohkan selepas semua pembinaan di kawasan itu selesai, dan kemudian digantikan dengan bangunan baru, lapor Bernama.

Projek Aman Central yang termasuk pembinaan sebuah hotel lima bintang akan mewujudkan kira-kira 2,000 peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

"Kita dan pihak pemaju telah bersetuju supaya bangunan yang paling akhir sekali dirobohkan ialah surau itu," katanya kepada pemberita di Alor Star hari ini.

Katanya, beliau telah melawat tapak pembinaan dua hari lepas dan Ketua Pegawai Eksekutif Belleview Group (pemaju) telah mengesahkan tidak ada sebarang masalah dari segi undang-undang.

"Insya-Allah dalam masa 32 bulan kita akan siapkan projek tersebut. Mereka (pemaju) juga akan mulakan kerja-kerja pembinaan hotel lima bintang di sebelah itu dan ia tidak melibatkan kerja-kerja perobohan yang banyak," katanya.

Azizan berkata beliau telah melihat pelan surau yang baru dan apabila surau itu siap kelak ia dapat menampung sehingga 400 jemaah dalam satu masa.

"Pada masa hadapan, kalau kawasan itu dah maju mungkin kita boleh tunaikan Solat Jumaat di surau itu," katanya.-mk

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...